Friday, 1 January 2016

Jelita baru 2016

Tahniah Team Jelita Baru 2016!  #jelitabaru2016
Selamat berlalu pergi 2015. Apa yang boleh saya rumuskan, ia meninggalkan rasa yang pelbagai dalam jiwa saya. Pelbagai kerana ada rasa gembira, sedih, marah, takut, kesal, sakit hati, benci, tertanya-tanya, buntu dan seribu satu rasa. Tidak cukup kertas untuk diperincikan, namun saya masih beruntung dan bertuah hidup dan bernyawa dengan udara percuma, matahari pun percuma, tapi undang-undang manusia menjadikan apa yang percuma diberi Tuhan itu tidak lagi percuma, malah sulit dan sukar. Sesungguhnya, Tuhan tidak bersalah, manusia yang rakus dan tamak berbekalkan status kuasa dan undang-undang, lalu semuanya jadi pelik.

Saya menjalani 2015 dengan baik pada awalnya. Balik ke Kuala Lumpur pada 1 Mac tahun lalu, seminggu kemudian majlis pernikahan adinda saya berlangsung dengan gilang gemilang meskipun saya masih lagi mengantuk dan penat akibat penerbangan jarak jauh selain bertukar cuaca. Saya tidak boleh 'deal' dengan cuaca di sini kerana saya orang kampung, bertukar cuaca sikit badan sudah lemau. Kononnya kalau ikut istilah orang bijak pandai, jetlag! Tapi disebabkan saya ini bukan orang moden, jetlag itu menjadikan saya lemau berhari-hari sementara menunggu mekanisme badan kembali normal. Kalau orang yang sudah biasa dengan penerbangan jarak jauh, tentu mereka tidak jetlag kan.
Jangan lupa dapatkan majalah Jelita dengan beberapa jelitawan dengan kisah masing-masing!

Hmm...ya saya orang kampung. Orang Pasir Mas yang tiba-tiba tercampak ke England selama hampir 10 bulan, menyebabkan saya hilang kawalan diri, maksud saya nak kembali kepada disiplin asal mengikut jam dan masa di sini, agak lambat. Namun kini Alhamdulillah, saya sudah back to normal, sudah boleh bergerak selari dengan jam di Malaysia dan ada peluang nak menulis semula di sini. Writing is blood. Bak kata orang bahasa, menulis ini santapan jiwa..bagi merekalah. Bagi saya, menulis memang sudah berdarah daging dalam jiwa saya sejak saya di tingkatan 4, bersekolah di Sek Men Perempuan di Pasir Mas dan kini masih terus menulis untuk cari makan. Kais pagi makan pagi, menulis di waktu malam, selepas itu send email kepada penerbit, tunggu sebulan dua, kalau tersiar, dapatlah sedikit duit untuk ikhtiar hidup. Pun begitu, tiada kerisauan, saya tetap cukup makan pakai. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan.

Masih dengan menulis, pada November lalu, Deputy Editor majalah cantik ini menghubungi saya bertanya kalau-kalau saya boleh menyumbangkan artikel untuk majalah mereka. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan, seperti orang mengantuk disorongkan bantal dan sirih pulang ke gagang, saya terus kata NAK!!!!

Jadi sepanjang November itu, saya sempat menemubual beberapa personaliti dan menyiapkan empat artikel fokus dan dua artikel sampingan untuk majalah Jelita yang diberi wajah baru. Tidak lama kemudian, beliau sekali lagi menawarkan tugas Sub Editor kepada saya..saat itu saya berasa seperti bintang di langit bersinar terang. Dan sudah lebih sebulan jugalah saya bertugas dengan warga Jelita yang kesemuanya masih muda belia, namun memiliki semangat yang kental dalam bidang penulisan. Syabas untuk Team Jelita!

Semoga terus kekal Jelita dan sentiasa bersemangat adinda sekelian...:)


7 comments:

  1. Replies
    1. tq bro..aku baru nak panas enjin selepas tiga tahun senyap..

      Delete
  2. Wow....tahniah....kalau dah memang talented tu insyallah akan sentiasa ditunggu dan dicari. Sekali lagi Uncle ucapkan syabas dan tahniah! Singgahlah kalau ada masa..

    ReplyDelete
    Replies
    1. TQ Uncle..inshaaAllah akan singgah jika ada kesempatan..memang setiap minggu p Bangsar & PJ. Apa-apa saya roger naa...

      Delete
  3. setelah 2015 hanya dua entri..2016 sudah dimulakan dengan entri yang vasss!!! well done my friend.

    ReplyDelete
    Replies
    1. TQ Che Kem..marilah kita sama-sama menulis menyemarakkan apa yang ada dalam fikiran utk dikongsi-kongsikan..

      Delete
  4. So kisahnya akak dh kje blik ke?

    ReplyDelete