Thursday, 14 May 2015

Selamat berangkat...

Tidak tahu apa seru yang menyapa minda saya malam ini, tiba-tiba hati tergerak menulis di laman ini yang sudah lebih setahun tidak disentuh. Barangkali khabar duka lewat jam 4 petang tadi menjadi nyala rasa terbesar untuk saya kembali ke sini kerana kata-kata terakhir sahabat yang saya sanjungi dan kasihi ini ialah 'menulis!'

Orangnya sederhana tinggi, berkulit kuning langsat, bermisai nipis dan ada sedikit rambut berwarna putih di kepalanya. Suami yang baik kepada seorang wanita bertuah dan ayah yang penyayang kepada anak-anaknya, beliau juga adalah individu yang disenangi oleh seluruh sahabat tanpa mengenal usia mahupun warna kulit.

Saya mengenali puisi beliau terlebih dahulu pada 1987 dan cukup suka dengan puisinya yang berjudul 'Batu-batu di Laman.' Puisi ini menang hadiah sastera anjuran DBP pada tahun berkenaan. Setelah beberapa bulan mengenali puisinya, barulah saya mengenali orangnya dan beliau mengunjungi rumah ibu bapa saya di Pasir Mas pada suatu tengah hari yang cerah. Kerana kedatangannya atas dasar persahabatan tidak dimaklumkan lebih awal, emak tidak mempunyai sebarang lauk istimewa untuk makan tengah hari sementara abah pula tidak ke pasar pagi itu. Jadi kami anak beranak terkial-kial memikirkan apakah yang akan kami hidangkan pada sahabat saya ini.

Kebetulan pada ketika itu merpati peliharaan Abah gemuk-gemuk dan jinak serta membiak dengan banyak. Jadi abah menyembelih beberapa ekor merpati kesayangannya dan emak memutuskan untuk menyediakan sup merpati untuk sahabat saya ini yang akan tiba bila-bila masa saja di rumah kecil kami di Pasir Mas. Beliau datang bersama seorang lagi sahabat dan saya berasa teruja kerana penulis yang puisinya saya gemari akan berkunjung ke rumah.

Seperti yang kami rancang, emak siap menghidang dan beliau tiba tepat pada masanya, selepas berbual seketika, saya mengajak beliau dan sahabat seorang lagi ke dapur kami untuk makan tengah hari. Ketika itu saya di tingkatan empat dan beliau di tingkatan enam. Hari berkenaan tidak akan saya lupa kerana itu pertama kali abah mengorbankan merpati kesayangannya dan hari itu juga saya kenal individu yang menulis puisi kegemaran saya.

Selepas itu kami berutus surat dan beliau banyak mengajar saya mengenai teknik menghasilkan puisi dan penulisan lain. Beliau meneruskan pengajian ke USM dan saya di UM. Beliau berkahwin dan saya berkahwin. Beliau kemudian bertugas di IB dan saya di BH. Sesekali saya berpapasan dengan beliau di acara persuratan akademik dan baca puisi Pena kerana saya membuat liputan dan beliau membaca puisi. Pada masa sama saya mengikuti perkembangan sastera beliau di media massa juga kerana beliau adalah penggiat sastera yang benar-benar tulus. Dan saya tahu beliau adalah sahabat yang cukup disenangi oleh hampir keseluruhan sahabat lain.

Masa silih berganti dan saya bersara dari BH, lantas meneruskan kembara ke Eropah dalam usaha mencabar dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan saya dalam beberapa disiplin. Apabila saya balik ke KL, saya menghubunginya untuk mendapatkan beberapa buku beliau yang baru. Pada Sabtu 2 Mei baru-baru ini, saya bertemunya di Pesta Buku Antarabangsa KL dan beliau menghadiahi saya kumpulan puisi terbaru beliau berjudul Sehelai Daun Kenangan terbitan ITBM. Siap bertandangan tangan, buku berkenaan bertukar tangan dan apabila pulang ke rumah, saya meneliti satu demi satu puisinya yang memang saya gemari selama ini. Ada sedikit kelainan, namun ia mungkin hanya perasaan saya saja kerana saya banyak menelaah puisi akhir-akhir ini, bukan saja puisi beliau, tapi juga puisi penulis lain.

Membaca keseluruhan puisinya, saya mengesan nada sayu dan ada perkataan 'ucap selamat tinggal kepada kehidupan yang bersifat sementara' yang tidak tertulis dalam kumpulan puisi berkenaan. Namun saya diamkan saja dan tidak pula terfikir untuk berbincang dengan sahabat lain kerana ia mungkin tafsiran saya sahaja kerana saya banyak menekuni puisi beliau yang bersifat merendah diri itu.

Kemudiannya, pada pagi 5 Mei, Selasa, saya mendapat sms daripada seorang sahabat memberitahu beliau tidak sedarkan diri dan berada di Hospital Selayang akibat pendarahan dalam otak. Ya Allah kami sekalian  warga sahabat amat terkejut kerana beberapa hari sebelumnya beliau seperti kebiasaan, ceria dan senyum apabila berpapasan. Keesokannya saya dapat tahu beliau sudah dipindahkah ke Hospital Sg Buluh dan akan menjalani pembedahan untuk membuang darah beku pada otak kiri (otak kreatif saya kira). Usai pembedahan, beliau koma dan pendarahan masih berlaku.

Saya dan seorang sahabat lain berkesempatan menziarahi beliau pada tengah hari 8 Mei, Jumaat dan beliau 'tidur lena' dengan wayar memenuhi kepala dan berdarah. Ya Allah doa kami ketika itu agar beliau kembali sembuh kerana isteri dan anak-anaknya amat memerlukan beliau, begitu juga dengan kami, sahabat-sahabatnya yang masih memerlukan banyak ilmu kepengarangan daripadanya.

Dua hari selepas itu saya mendapat tahu otak kanan beliau pula mengalami pendarahan dan ada darah beku, sekali lagi doktor melakukan pembedahan untuk membuang darah beku. Kami sahabatnya tidak berhenti berdoa dan berharap beliau akan bangun untuk kembali bersama-sama kami dalam dunia kepenulisan. Pun begitu, tidak berapa lama saya mendapat tahu keadaannya makin kritikal dan kami hanya mampu berdoa mengharapkan suatu keajaiban berlaku untuk dia kembali bangun, berada di sisi keluarganya dan menjadi guru dan pernasihat terbaik kepada kami.

Namun apa daya kami, beliau rupa-rupanya sudah berjanji dengan Pencipta untuk kembali ke negeri barzah hari  ini, 14 Mei, jam 4 petang. Kematian tidak pernah terlambat atau tercepat sesaat pun, maka berangkatlah beliau menuju Pencipta dalam redup hujan petang. Selamat berangkat sahabat yang kami hormati dan sanjungi kerana akal budinya, kerana kecermatan tutur katanya bahkan kerana kecerahan hatinya terhadap semua orang yang mengenalinya.

Jenazahnya dikebumikan di tanah kelahirannya di Kota Bharu esok, 15 Mei. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah Taala..

Selalamat menemui Pencipta Allahyarham Rahimidin Zahari..

#Takziah untuk Kak Ros dan seluruh ahli keluarganya..Al-Fatihah.

9 comments:

  1. dariNya kita datang, kepadaNya kita pulang
    sayunya baca posting ni
    kehilangan org yg pernah rapat dgn kita mmg mmberi kesan sgt besar pd kita

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam Irfa, sampai kini kami semua yg mengenali dia masih berasa seperti dia tidak pernah tiada..

      Delete
  2. oh

    membaca sinopsis di laman, berkaitan naskah sehelai daun kenangan, rasanya ia amat membenarkan keadaan.

    Nikmatilah seberkas puisi “rasa dan jiwa” sejujurnya daripada beliau sepanjang menatang zaman kepenyairannya kerana esok mungkin ...

    “ ... yang tinggal hanya nama dan bayang-bayang; juga sehelai daun kenangan”



    oh...
    sesungguhnya, semoga Allah memberkati beliau.

    moga yang tinggal, adalah ilmu yang bermanafaat dan doa yang membahagiakan beliau.

    takziah untuk beliau.

    dan menulis la semula lady, untuk membahasakan jiwa kamu juga.

    semoga Allah memudahkan untuk semua...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam, tq AJ. perasaan mahu kembali menulis itu ada..cuma saya yg menangguhkan atas sebab yg saya sendiri tidak dapat mengenalpasti..bebannya terlalu berat apabila kita tidak dapat meluahkan..mohon doakan saya ada semangat utk cepat menulis:)

      Delete
  3. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete