Wednesday, 5 February 2014

Hagia Sophia...

Sedar tak sedar, sudah masuk lima bulan aku berhenti dari Kilang Kertas dan sedar tak sedar juga, aku dah jadi blogger sejak 2007 lagi hinggalah kini. Andai dihitung, keseluruhannya ada enam blog yang mana tiga darinya adalah milik sendiri manakala tiga lagi blog kreatif dan aku diundang sebagai pengkarya tamu..tidak berbayar, namun aku terima kerana minat dan idea sedang mencurah ketika itu.
 
Kini, Februari 2014..terasa begitu pantas masa berlalu. Daripada membahasakan diri 'aku' dalam gaya penulisan blog, bertukar kepada 'saya' dan kemudian 'aku.' Tak tahulah mana satu yang paling jujur, sama ada 'aku' atau 'saya,' tak pun 'gua.' Entah..tapi kalau berbicara dengan Allah, kita membahasakan diri 'aku'..sebagai hamba paling lemah di sisiNya..
 
Menulis di blog bagi aku sama seperti menulis catatan peribadi pada diari harian. Kadang kala terbabas juga mencatat sesuatu yang termasuk dalam kategori rahsia kerana tidak sedar. Tapi ada kalanya terkawal walaupun menulis di bawah paras sedar. Aku terpanggil menulis entry ini sebab sepanjang hari siang tadi, mengemas pelbagai kertas dan dokumen yang sudah lama terperap dalam lima beg kanvas besar, khazanah dari Kilang Kertas yang dibawa balik masa nak resign Ogos tahun lalu.
 
Ada beratus-ratus artikel yang ditulis dan berpuluh buku nota yang disimpan walaupun bukan lagi bertugas. Sayang betul nak buang. Bukan bererti kesal kerana tidak lagi bertugas, tapi ilmu dan manfaat yang diperoleh amat banyak. Lebih-lebih lagi perbualan dengan seorang Editor Kanan di sebuah syarikat penerbitan petang tadi buat aku berasa perlu untuk berlama-lama di PC. Perlu menulis sekurang-kurangnya 10 halaman setiap hari. Menulis untuk 'memanaskan kembali enjin' yang sudah hampir lima bulan berehat.
 
Minggu lepas ketika berjumpa Chekem, macam-macam idea timbul, begitu juga ketika bertemu rakan sejak tahun 1 di UM, Lily Haslina Nasir.
Katanya, "..kalau aku jadi kau, macam-macam benda boleh tulis. Kau kan pernah bergasak dengan ROTU. Kau kan selalu interview chef dan segala bagai tukang masak. Kau kan selalu back pack.." katanya membakar semangat aku..
 
Minggu lepas juga aku bertemu penulis senior yang aku kagumi sejak 1988, katanya begini, "..dengar khabar lama mengembara ke NZ. Berapa hari?"
"Tiga minggu je.." jawab aku.
"Hmm lama tu. Banyak habis?"
"Sikit je, sebab saya banyak menumpang di rumah kawan pada kawan  dan masak sendiri."
"Habis tu..."
"Habis apa?"
"Tulislah..menulis. Tulis.." katanya sambil melontar pandangan ke arah kejauhan.
 
Sudah tiga orang yang menegur aku supaya kembali menulis. Bukan untuk akhbar, tapi untuk diri sendiri. Kalau mereka sudah menegur begitu, kenapa aku harus berasa 'kerdil' untuk menulis. Semangat yang hilang, susah mahu kembali. Sudah pelbagai cara dilakukan untuk menyeru semangat itu. Kalau di Kelantan, orang tua-tua dulu akan 'Main Puteri' supaya semangat yang hilang itu kembali ada. Atau dalam bahasa pasarnya, mereka sebut 'Bageh.' Kalau main 'Bageh' ini, yang demam terbaring pun boleh bangun tegap dan segar tubuh badan. Hebatnya kuasa semangat yang Allah berikan kepada kita. Main Puteri atau Bageh itu medium perantaraan saja, sebenarnya kita sendiri yang perlu bangkit. Aku menulis ini, aku ingatkan diri sendiri. Aku mahu jadi aku yang mula menulis pada usia 16 tahun sejak lama dulu. Ketika itu malam-malam pun sanggup guna lilin andai elektrik terputus, guna mesin taip yang arwah Abah beli untuk kakak jenama Olivetti. Mana pergi entah mesin taip yang banyak jasa itu..
 
Dan esok sehari lagi masa dan usia bertambah. Aku masih ada 4 tahun 10 bulan dan 25 hari untuk jadi seperti apa yang aku inginkan. Mungkin ini suatu permulaan setelah pelbagai perkara berlaku. Ya kita sentiasa dengar orang kata "Everythings happen for a reason.." Dan aku tahu aku sudah membuat keputusan yang betul kerana tiada apa yang berlaku secara kebetulan, semuanya sudah dirancang baik olehNya..kita sebagai hamba atau khalifah kecil di mukabumi ini perlu memanfaatkan sebaiknya. (Peringatan untuk diri sendiri..)
 
 
Dan tiada apa lagi yang perlu ditangguhkan..
 
Bab 1:
Pulau Melati berlangit sendu
Nampak berbalam di dalam jampi
Kalau hati sudah merindu
Tidur malam termimpi-mimpi.
"Ada satu komen lagi... nak tahu tak?"
"Apa dia?"
"Dua tiga hari ni… saya makan gulai masin... ada orang nak kahwin ke?" Tanya lelaki di hadapannya itu dengan wajah yang langsung tidak menunjukkan rasa bersalah. Matanya berkelip laju dan kumis nipis jelas dijaga rapi. Ahhh ke situ pula. Kenyataannya,  bagai ada batu besar menghempap kepalanya pada ketika itu. Aduhh!!! Siapa yang masak gulai berkenaan, dia satu-satunya pembantu tukang masak di kedai emak.
"Err... dah memang gulai ikan masin... masin la jadinya," jawabnya selamba, masih membela diri. Ciri-ciri mengalah sama sekali tidak akan ada dalam kamus hidup seorang Farha, itu sudah pasti. Anak ayah, memang tidak pernah diajar mengalah. Berusaha selagi boleh. Kalau ayah ada, mesti ayah bangga. Sayangnya ayah sudah tiada. Sedih…
"Tapi ini masin lain...bukan masin gulai ikan masin rasanya...." balas mamat tocang ekor kuda itu lagi. Muka mamat berkenaan poyo saja pada pandangan matanya. Sungguh, dia nampak mamat itu seperti seekor semut di tepi birai bekas gula saja, layak untuk dipicit dan di buang ke dalam singki, seterusnya ditolak ke dalam lubang singki dengan air paip laju-laju.
"Hmm...." gumamnya perlahan. Dalam hati, gelora ombak badai selatan mula mengganas. Didihnya makin menjadi.
"Marah?"
 
(Fragmen Bab 1 Hagia Sophia)

5 comments: