Wednesday, 24 August 2011

selepas perang!

Kalau kami berlari dengan bunyi tapak kaki berdentum dentam di atas lantai kayu, nenek cerlung garang, mak pun akan cepat-cepat cubit tarik telinga..lantas kami akan diam seketika, sebelum cuba berjalan dengan gaya berhati-hati seperti 'cat walk' kerana tidak mahu sama sekali mengeluarkan bunyi. Ketika itu juga kami, (aku dan adik), tahu semua orang kena senyap, kalau tidak kami nahas terpaksa mendengar leteran nenek dan mak selama berhari-hari..kami juga tahu ketika itu semua isi rumah akan sama-sama solat berjemaah, menandakan semua orang di dalam rumah bebas dari hadas besar.

Seminggu sebelum itu, kami sudah lihat mak mengait pelepah pisang di belakang rumah manakala nenek akan memastikan daun pisang diraut cantik, lalu daun itu dikoyak cermat supaya sama saiz dan bucu. Mak juga akan menyediakan pencucuk lidi dan akan ada seperiuk besar pulut daripada beras pulut yang terbaik.
Di tengah laman, ketika petang sunyi dan nyior gading melambai lembut dengan ciuman angin sepoi2 bahasa, ketika itulah mak dan nenek ralit membungkus pulut yang sudah ditanak dengan bauran ragi, ke dalam daun pisang lalu mengemaskan bungkusan dengan cucukan lidi.

Kami dipaksa mengunci mulut atau pun kami dihalau bermain di rumah nenek saudara yang tidak jauh jaraknya. Bila mak dan nenek siap membungkus, kami dibenarkan balik...aku seperti biasa tidak akan sabar menerkam untuk melihat isi bekas besar yang sudah ditutup rapat oleh nenek:

Aku: Nenek..kita nak makan kuih dalam daun pisang tu...(sambil adik akan memberi sokongan dan buat muka seposen minta belas kasihan...)
Nenek: tak boleh...kena tunggu selepas perang!
Aku: tapi kita nak tunggu perang bila nenek?
Adik: a ahh...mana ada perang sekarang.
Aku: kita dan banyak kali sambut merdeka..kenapa nak tunggu perang baru boleh makan.

Penyudahnya, nenek akan cubit pipit aku sampai merah sebab becok dan mak akan tambah dengan cerlung muka supaya aku diam. Aku dan adik kecewa...nak tunggu selepas perang untuk makan kuih berbungkus itu..nampak gayanya kami tidak akan merasa sampai bila-bila sebab keadaan ketika itu sangat aman dan tidak menampakkan ciri tanah air akan mengalami perang...aku akan tidur dengan berfikir kenapa tidak berlaku perang kerana aku tahu adik juga teringin mencuba kuih di dalam bungkusan daun pisang itu...

Selepas beberapa tahun, aku mengerti maksud selepas perang yang dikatakan nenek dan mak suatu waktu dulu. Betapa kehalusan dan keikhlasan kudrat menyediakan makanan tradisi itu, resamnya diikuti dan dipatuhi supaya membuahkan hasil yang cantik dan enak kerana pantang larang menghasilkan tapai beras adalah tidak boleh membuat bising, tidak boleh bercakap yang bukan2 dan semua perempuan di dalam rumah mestilah bersih daripada haid atau pun nifas, maka tapai akan masak dengan cantik, putih dan bersih serta enak SELEPAS diPERAM beberapa hari.

Dan petang tadi, ketika berbuka, aku menikmati sebungkus tapai yang comel lantaran berasnya yang putih bersih dan bungkusan yang kemas..sejurus menyuap ke mulut, bayangan nenek dan mak melintas di dasar hati..dan kenang-kenangan itu terus abadi di dalam hati aku akan betapa air tangan mak dan nenek membentuk peribadi aku menjadi manusia seperti hari ini...terima kasih mak, dan nenek juga!

Tapai beras Intercontinental Hotel...aku berasa sayang untuk menghabiskanya kerana ia menjelmakan bayangan mak dan nenek walaupun khalayak di sekeliling aku adalah mereka yang tidak pernah hadir dalam minda aku ketika nenek dan mak membungkus tapai...suatu ketika dulu...

13 comments:

  1. aku suka tapai ubi. hingga menjilat lidi...

    ReplyDelete
  2. pun aku suka juga, tapi kalau digoreng..kalau tapai ubi raw, aku buat puding...

    ReplyDelete
  3. pergh...! simpan dalam peti sejuk, buat berbuka. terlupa sekejap air tebu.

    ReplyDelete
  4. hahaha...tau tak pe...kalu pekena kedua-duanya..cikaro KPJ pon ko leh tak pandang tau...

    ReplyDelete
  5. tapai pulut makan dgn ice cream vannila sedap...

    tapai ubi, goreng lepas tu tabur dgn gula, tutup sekejap biar beruap, dan simpan dlam peti sejuk..sedappp aruah bapak sangat suka mkn mcm tu..

    ReplyDelete
  6. owh ya ke...i ingat kalu tabur parmesan cheese pun sedap gak kan..

    ReplyDelete
  7. kuar baris tapi masih dalam medan yg sama kan NP...ok back to the topic...tapai ni banyak kenangan pada aku..

    ReplyDelete
  8. (jangan lupa berbaris pakai pembaris) kat KL ni tapai dah hilang originaliti. mana taknya, boleh pulak diorang pack dalam mangkuk microwave oven tu macam tau fu fa...

    ReplyDelete
  9. susah nak cari daun getah laa...eh kat kampung i tapai pulut dibalut dalam daun getah...

    haaa tak penah pulak i makan tapai ubi taruk parmesan...wahhhh fusionnya.... hebatt

    ReplyDelete
  10. NP: try le...goreng salut tepung, letak eskrim vanila sket dan tabur parmesan...perghh!
    NP lagi: tapai bungkus daun getah sedapkan...rasa humble sangat bila makan!
    SM: tapai di KL ni tapai maknyah...x ori!

    ReplyDelete
  11. hahahaaaa...! maknyah! auwww...

    ReplyDelete