Wednesday, 24 August 2011

fragmen A (3)

Hmmm…kerana salji dia terlepas menjejak Ashraf di Paris, banyak perkara terlepas gara-gara hujan salji yang sejuk. Nampak cantik apabila turun menutup bumi, tetapi cantik yang berbisa, sejuknya menyerap ke tulang hitam, tak tahan dia menanggung beku di hujung jari, dihujung hidung dan apabila bercakap, berkepul-kepul wap keluar. Sungguh dramatik.

Dan kerana salji jugalah dia terperap di sini, terkandas sudah sehari suntuk di lapangan terbang Stansted. Khabarnya, seluruh kapal terbang terpaksa bertumpu ke Stansted kerana Gatwick, Luton, Heathrow dan Birmingham dipenuhi salji, salji yang melumpuhkan banyak penerbangan termasuklah penerbangan yang dia tunggu kini.

Pelbagai manusia dari seluruh pelusuk dunia terkandas, tidak dapat meneruskan perjalanan kerana salji. Salji yang putih, lembut berjurai semasa turun dan cair dengan sendirinya itu rupa-rupanya menjadi begitu perkasa dan gagah kerana mampu menghalang burung besi daripada terbang, mampu menjadikan rel keretapi dari London ke Paris tidak beroperasi selama beberapa jam dan kini paling menyesakkan, dia menjadi penghuni sementara di lapangan terbang yang semakin dirasakan sempit.

Sempit kerana manusia semakin ramai dan di celah-celah lautan manusia itu, ada satu wajah yang kerap mencerlang ke arahnya. Wajah itu ada di mana-mana saja, berselindung di sebalik topi coklat.

Aahh biarlah, mungkin lelaki itu juga seperti dia, pelarian tidak rasmi sementara menunggu penerbangan pulih. Makin dilihat makin aneh pula perasaan, tidak tahu bagaimana mahu diterjemah. Bagitupun, dia biarkan saja kerana suasana dan peristiwa di lapangan terbang itu adalah milik semua, milik sejagat.

Tiada orang pun yang mendakwa kesejukan itu milik mereka, bahkan tiada orang juga mendakwa kesunyian itu adalah hak perbadi mereka. Kesunyian milik semua, sunyi dalam hiruk pikuk suara manusia yang terbebat beku dek kerenah salji.

No comments:

Post a Comment